Ahad, 24 Ogos 2025

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

 KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program Borneo Consumer Heroes 2025 bermula 19 hingga 22 Ogos 2025 di Papar, Sabah. Program ini bertujuan memperkasa kesedaran hak-hak pengguna, mempromosikan pendidikan sebagai hak asas, serta mengeratkan hubungan antara mahasiswa UTM dengan komuniti setempat di Sabah.

Seramai lebih 30 orang ahli GPS UTM telah menyertai program ini, dengan pengisian utama berlangsung pada 20 Ogos di Sekolah Menengah Kebangsaan Takis, Papar. Majlis pembukaan telah disusuli dengan slot perkongsian “Explore UTM: From Borneo to Beyond” oleh Encik Hasyiq bin Haji Hamdan yang memperkenalkan peluang pengajian di UTM kepada pelajar Tingkatan 6.

En Hasyiq, Penasihat GPS UTM menyampaikan perkongsian

Seterusnya, Presiden GPS UTM, Izzah binti Shahrul, menyampaikan slot “Pendidikan Sebagai Hak Utama” yang menekankan pengalaman “Life at UTM” serta kepentingan pendidikan sebagai salah satu daripada 8 hak pengguna yang digariskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Izzah binti Shahrul, Presiden GPS UTM memberikan perkongsian dan pengalaman

Menurut beliau, penganjuran program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk turun padang mendekati masyarakat serta menghayati nilai empati dalam memperjuangkan hak-hak pengguna.

“Kami percaya mahasiswa bukan sekadar menuntut ilmu di kampus, tetapi juga berperanan sebagai ejen perubahan yang mampu menyemai kesedaran pendidikan dan pengguna dalam kalangan masyarakat. Program ini membuktikan bahawa semangat kepenggunaan boleh diangkat melalui pendekatan ilmu, seni dan khidmat bakti. Ini adalah kali pertama GPS UTM menganjurkan program di luar Semenanjung dan merupakan kejayaan terbesar apabila kami dapat menjadikan SMK Takis, Papar sebagai sekolah angkat GPS UTM di Sabah, selain menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf. Diharapkan kejayaan ini dapat diteruskan dalam legasi GPS UTM,” ujar beliau.

Menariknya, elemen persilangan budaya turut diketengahkan melalui persembahan Zapin Johor oleh mahasiswa UTM yang kemudian dibalas dengan persembahan tarian tradisional Sabah oleh pelajar tempatan. Majlis penutup disemarakkan dengan tarian bersama iaitu tarian Sabah dan poco-poco, yang mengukuhkan ikatan mesra antara pelajar UTM dan warga sekolah.

Pada sebelah petang, program diteruskan di Kampung Benoni, Papar dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Antaranya ialah:

  • Inisiatif Pengguna Peduli: penyerahan bantuan barangan keperluan asas kepada 10 keluarga asnaf.

  • Energi Sukan Desa: pertandingan sukan tradisional termasuk lastik dan sukan bermindu.

  • Pertandingan Mewarna Kanak-kanak: aktiviti kreatif bagi meriahkan suasana desa.


GPS UTM bersama penduduk Kampung Benoni

Pengarah Program, Muhammad Hazeem bin Faizul Zahar, turut menyatakan rasa bangga atas kejayaan penganjuran ini.

“Ini merupakan kali pertama saya menjadi pengarah program di Sabah dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Saya berharap agar program ini dapat diteruskan ke sesi hadapan dengan pelbagai lagi inisiatif baharu yang selari dengan modul kepenggunaan yang dikeluarkan oleh KPDN,” katanya.,” katanya.

Sementara itu, penasihat GPS UTM, Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, menegaskan bahawa usaha ini seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berjiwa kepimpinan serta bertanggungjawab kepada komuniti.

Program Borneo Consumer Heroes 2025 berjaya meninggalkan impak besar kepada pelajar sekolah, penduduk kampung serta mahasiswa sendiri melalui pengisian berbentuk pendidikan, kebudayaan dan khidmat masyarakat. GPS UTM optimis untuk terus menjadikan inisiatif ini sebagai platform tahunan dalam memperkukuh jaringan masyarakat dan mahasiswa merentasi sempadan negeri.


Krew Borneo Consumer Heroes 2025


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...