Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) telah menganjurkan pertandingan Cabaran Troli Pengguna sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar 2023 (KGPP 2023) yang telah berlangsung pada 5 hingga 7 Mei 2023. Pertandingan Cabaran Troli Pengguna telah diadakan di Econsave Taman Teratai, Pulai. Seramai 18 peserta dari Universiti Teknologi Malaysia telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Program ini merupakan program tahunan kelab di mana ia berbentuk pertandingan dengan kerjasama antara pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama GPS UTM. Cabaran Troli Pengguna ini mencabar mahasiswa dan mahasiswi tentang ilmu kepenggunaan dengan membeli dan mencari barangan mengikut arahan yang akan diberikan dalam masa yang ditetapkan semasa pertandingan dijalankan. Melalui program ini, mahasiswa dapat mengambil peka hak mereka sebagai seorang pembeli dengan harapan mereka dapat menggunakan dan mengaplikasikan ilmu ini di mana sahaja mereka berada.
Pemenang Cabaran Troli 2023 yang membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai yang bernilai RM300 berjaya dirangkul oleh Saudara Ahmad Khuzairi dan Saudara Mohamad Loqman Adam. Bagi tempat kedua pula, bernilai RM200 dimenangi oleh Saudara Muhammad Shafiy Ikmal dan Saudara Mohd Aminul Hakim. Wang tunai RM100 pula berjaya disambar oleh Saudari Aina Nadhira dan Saudari Nur Syakila Adliah bagi tempat ketiga.
Seperti yang dinyatakan oleh Saudari Izzah selaku Pengarah Cabaran Troli Pengguna, program ini berjaya memenuhi objektif utama dalam mensasarkan pengguna terutamanya mahasiswa dan mahasiswi di UTM untuk mengetahui pengetahuan dalam ilmu kepenggunaan untuk diaplikasikan dalam perbelanjaan semasa berada di pasaraya.
Tambahan pula, sinergi bersama KPDN dalam pelaksanaan program ini meningkatkan usaha keras Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM (GPS UTM) yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini sejak April 2023. Sementara itu, Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDN, Tuan Adiratno Bin Che Ani, mengisytiharkan keinginan beliau untuk meneruskan kerjasama dengan GPS UTM pada tahun akan datang dengan penglibatan yang lebih aktif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan