KUALA TERENGGANU, 29 November – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menjayakan Program Simposium Kepenggunaan Bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu, yang berlangsung dari 28 hingga 30 November 2024. Program ini menghimpunkan mahasiswa UTM bersama-sama guru pelatih IPGM dalam usaha memperkasa kesedaran kepenggunaan, memperkukuh jaringan intelektual serta mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi.
Seramai lebih 30 mahasiswa GPS UTM menyertai simposium ini, dengan pengisian utama berlangsung pada 29 November di Dewan IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail. Simposium tersebut memberi ruang kepada para peserta untuk membincangkan isu-isu kepenggunaan semasa, kepentingan pendidikan pengguna, serta peranan mahasiswa dan guru pelatih sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.
Selain sesi ilmiah, pengisian program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti pengukuhan ukhuwah. Antaranya termasuk kunjungan muhibbah dan aktiviti riadah bersama yang menyatukan GPS UTM dengan GPS IPGMKDRI melalui perkongsian pengalaman dan diskusi santai.
Menurut Pengarah Program, Muhammad Hazeem bin Faizul Zahar, penganjuran simposium ini memberi peluang kepada mahasiswa UTM untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan IPGM, selain menyemai kesedaran kepenggunaan melalui pendekatan pendidikan.
“Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada kedua-dua pihak. Semoga hubungan kerjasama ini dapat diteruskan ke masa hadapan dengan inisiatif yang lebih meluas dan berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Penasihat GPS UTM, Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, menegaskan bahawa usaha ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berjiwa kepimpinan dan bertanggungjawab kepada komuniti.
“Simposium ini bukan sahaja menjadi platform ilmu, tetapi juga jambatan kerjasama antara UTM dan IPGM dalam memperkasa agenda kepenggunaan di Malaysia,” ujarnya.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini turut disertakan dengan lawatan santai ke lokasi ikonik Terengganu seperti Masjid Kristal, Pantai Batu Buruk, dan Pasar Payang, yang memperkayakan pengalaman budaya peserta.
Secara keseluruhan, Simposium Kepenggunaan GPS UTM – IPGMKDRI 2024 telah meninggalkan impak besar terhadap peserta dengan menekankan nilai kepenggunaan, pendidikan dan semangat kebersamaan. GPS UTM optimis untuk menjadikan inisiatif seumpama ini sebagai kesinambungan program tahunan dalam memperkukuh jaringan masyarakat, guru pelatih, dan mahasiswa merentasi negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan