JOHOR BAHRU, 13 Mei - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan majlis perasmian sebagai simbolik menandakan bermulanya Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 yang berlangsung pada 13 hingga 18 Mei 2025. Majlis yang dihadiri oleh peserta, penganjur, penaja dan pihak berkepentingan ini berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. Majlis ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta menguar uarkan tempoh bermulanya KGPP 2025, sambil menekankan kepentingan pendidikan serta pemerkasaan pengguna dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bermaklumat, berwawasan, dan bertanggungjawab.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 10.45 pagi dan diikuti dengan ketibaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor iaitu Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif dan Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Yusof Bin Boon diiringi oleh Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Puan Lilis Saslinda Binti Pornomo, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Johor,Prof. Dr Edy Tonnizam Bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang disambut dengan penuh hormat oleh pihak penganjur. Majlis bermula dengan nyanyian Lagu Bangsa Johor dan Lagu Negaraku diikuti dengan bacaan doa pada jam 11.25 pagi.
Ketibaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor iaitu Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif (di bahagian tengah) dan Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Yusof Bin Boon (dua dari kiri) ke Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM JB.
Majlis Perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 bermula pada jam 11.30 pagi yang dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan oleh Cik Nur Hidayah Binti Rosmade selaku timbalan pengarah Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025 dan diikuti oleh ucapan oleh Prof. Dr. Yusof Bin Boon, Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM. Seterusnya, ucapan perasmian oleh Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor.
Ucapan daripada Prof. Dr. Yusof Bin Boon danTuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif
Hasil usaha dan kerjasama krew KGPP 2025, gimik perasmian KGPP 2025 dipersembahkan dengan baik dan lancar. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj KGPP 2025 dan diikuti oleh sesi penyerahan kad diskaun khas menu rahmah yang diberikan kepada pengusaha kafetaria yang menawarkan hidangan menu rahmah kepada pelanggan khususnya di Universiti Teknologi Malaysia dan telah berdaftar dengan KPDN. Antara pengusaha kafetaria yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini ialah Laaa Mh Enterprise, Shajarah Barakah Sdn Bhd, Wawa Great Enterprise, East Coast Kitchen, Nsk Masakan Melayu dan Jtawan Selatan Enterprise. Pengusaha kafetaria yang mempunyai kad diskaun khas ini akan menikmati penjimatan harga apabila membuat pembelian bahan mentah di premis-premis perniagaan yang terpilih.
Gimik Perasmian Karnival Generasi Pengguna 2025
Sesi penyerahan kad diskaun khas menu rahmah kepada pengusaha kafetaria
Pengisian aktiviti berakhir pada pukul 12.15 tengahari setelah sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir. Rata-rata peserta meluahkan rasa keterujaan kerana berpeluang menjayakan majlis perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025. Peserta yang hadir juga berpeluang untuk mengetahui tentang program program yang dijalankan di bawah Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 seperti Consumer Pocket Talk, Bicara Kepenggunaan, Consumer Star, Consumer Dash, Escape Room: Spending Maze dan Sukan Rakyat.
Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir.
Usaha-usaha yang dirancang oleh Jawatankuasa Pelaksana KGPP 2025 diharapkan mampu menginspirasi individu dan komuniti untuk mengambil tindakan konkrit dalam memahami isu-isu penting berkaitan penggunaan bijak dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi, sumber daya alam, dan kewangan. Warga Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dengan berbesar hati menjemput seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia untuk bersama-sama menjayakan program-program menarik yang bakal berlangsung sepanjang KGPP 2025 dengan pelbagai manfaat menanti para peserta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan