Rabu, 14 Mei 2025

GPS UTM Cipta Sejarah Kolaborasi Antarabangsa Julung Kalinya Bersama Universitas Airlangga dalam Program Bicara Kepenggunaan

JOHOR BAHRU, 14 MEI - Program Bicara Kepenggunaan merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai hak asas pengguna dalam kalangan mahasiswa. Program ini merupakan anjuran Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025.  Bertemakan “Tiktok Shop: Trend Membeli atau Perangkap Digital” , sebuah forum eksklusif yang membongkar realiti mengenai penggunaan Tiktok Shop di antara panel daripada Universiti Teknologi Malaysia, IPG Kampus Dato Razali Ismail, Terengganu, Universiti Malaysia Sabah dan jemputan istimewa panel antarabangsa dari Universitas Airlangga, Indonesia.


Poster Bicara Kepenggunaan dengan tema Tiktok Shop: Trend Membeli atau Perangkap Digital


TikTok Shop ialah ciri beli-belah dalam aplikasi TikTok yang menggabungkan elemen media sosial dan e-dagang. Melaluinya, pengguna boleh membeli dan menjual produk secara terus tanpa perlu keluar dari aplikasi. Penjual boleh mempromosikan barangan mereka melalui video pendek, penstriman langsung (live), atau menerusi profil mereka sendiri, manakala pembeli pula boleh membuat pembayaran terus melalui sistem yang telah disediakan. TikTok Shop turut menawarkan ciri afiliasi, di mana pencipta kandungan boleh memperoleh komisen dengan mempromosikan produk milik penjual lain.


Ciri ini berkembang pesat terutamanya di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia. Namun begitu, TikTok Shop pernah berdepan sekatan operasi di Indonesia sekitar Oktober 2023 kerana isu peraturan perdagangan. Walau bagaimanapun, terdapat usaha untuk menghidupkan semula perkhidmatan ini melalui kerjasama dengan platform tempatan dan penyesuaian kepada peraturan sedia ada. Secara keseluruhannya, TikTok Shop menjadi satu inovasi yang menarik dalam dunia perniagaan digital kerana ia menggabungkan hiburan dan urusan jual beli dalam satu platform yang interaktif. Mewakili suara mahasiswa dari dua buah negara, isu mengenai TikTok Shop ini dikupas dengan penuh teliti dan jelas dalam forum ini oleh individu yang aktif, berpengaruh dan cukup berpengalaman dalam isu-isu kepenggunaan.



Sesi forum dimulakan pada jam 8.00 p.m. dengan pendaftaran peserta masuk ke dalam siaran langsung YouTube di laman rasmi YouTube Gerakan Pengguna Siswa. Siaran langsung dimulakan dengan diskusi daripada panel pertama,  Muhammad Farihul Asyraaf bin Azizul Rahman selaku Presiden Gerakan Pengguna Siswa IPG Kampus Dato Razali Ismail, Terengganu diikuti oleh panel yang kedua  iaitu panel khas dari Indonesia, Israfiyla Dhovieriansyah Shofianovic yang merupakan  Ketua Department Ekonomi Kreatif, Badan Eksekutif Mahasiswa Fakultas Hukum Universitas Airlangga, Indonesia dan panel ketiga iaitu Manmohan A/L Nathan selaku Presiden Gerakan Pengguna Siswa Universiti Malaysia, Sabah.


Bersama panel-panel ketika penstriman langsung sedang berjalan


Sesi soal jawab berlangsung dengan lancar dan memberikan maklumat yang sangat berguna kepada para peserta yang mengikuti penstriman langsung pada malam tersebut. Program kemudian diteruskan dengan slot kuiz interaktif yang dianjurkan oleh Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM bagi memastikan peserta memperoleh ilmu yang bermanfaat sepanjang penstriman. Hadiah turut disediakan kepada peserta yang berjaya meraih tempat pertama, kedua dan ketiga.

Bersama panel-panel dari Malaysia dan Indonesia dalam sesi yang penuh informatif

Program Bicara Kepenggunaan telah berjaya menjadi platform ilmiah yang efektif dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, khususnya dalam konteks penggunaan TikTok Shop. Forum yang menghimpunkan panel dari pelbagai institusi dalam dan luar negara ini telah membuka ruang perbincangan yang kritis dan menyeluruh tentang kebaikan serta risiko yang wujud di sebalik fenomena e-dagang moden. Topik yang diketengahkan amat relevan dengan gaya hidup digital masa kini, sekali gus memberi nilai tambah kepada para peserta.

Izzah binti Shahrul selaku Presiden Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM sesi 2024/2025 menyatakan rasa amat berbangga terhadap komitmen dan dedikasi krew Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 yang berjaya merealisasikan program kolaborasi antarabangsa ini. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini menjadikan GPS UTM sebagai GPS pertama di Malaysia yang berjaya melaksanakan program kolaborasi bersama universiti luar negara. Menurut beliau, pencapaian ini merupakan satu batu loncatan penting bagi GPS UTM dalam memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa. Beliau berharap kejayaan ini mampu menjadi inspirasi kepada seluruh Gerakan Pengguna Siswa di Malaysia untuk terus melangkah lebih jauh dan berani meneroka peluang kolaborasi global pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi pendedahan yang berguna melalui sesi forum dan soal jawab, malah turut menyemarakkan semangat interaktif dalam kalangan peserta menerusi kuiz dan penyertaan aktif sepanjang penstriman langsung. Usaha Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dalam menganjurkan program seperti ini wajar dipuji dan diteruskan pada masa akan datang kerana ia mampu melahirkan generasi pengguna yang lebih celik, berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran dunia digital.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...