Khamis, 15 Mei 2025

Kelab GPS UTM Semarak Kesedaran Kebajikan Haiwan Melalui Program ‘Nom Nom Si Bulus’

 JOHOR BAHRU, 11 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama sukarelawan pelajar telah melaksanakan program “Nom Nom Si Bulus” yang merupakan sebuah usaha berterusan bagi memberi tumpuan terhadap penjagaan kucing-kucing jalanan di sekitar kampus UTM.

Program ini diwujudkan sebagai langkah berterusan dalam menyantuni haiwan terbiar, khususnya kucing jalanan yang sering berkeliaran di kawasan kampus. Dengan semangat keprihatinan dan sukarelawan, mahasiswa UTM daripada pelbagai kolej kediaman ampil berganding bahu menyediakan makanan serta memastikan kebajikan haiwan tersebut terpelihara. Pelaksanaan program dijalankan mengikut jadual sepanjang tempoh sebulan, bergantung kepada jumlah sumbangan makanan yang diterima daripada pihak luar yang prihatin.

pengagihan makanan kucing kepada peserta program

Selain memberi tumpuan kepada penyediaan makanan, sukarelawan turut dibekalkan dengan panduan pelaksanaan tugas yang menitikberatkan aspek tanggungjawab sosial, termasuk menjaga kebersihan kawasan selepas pengagihan. Langkah ini diambil bagi memastikan persekitaran kampus kekal selesa, sihat dan lestari.

peserta diberikan taklimat panduan pelaksaan tugas

Menurut pengarah program, “Nom Nom Si Bulus bukan sekadar usaha memberi makanan, tetapi platform untuk meningkatkan kesedaran sivik mengenai kebajikan haiwan. Ia juga membentuk nilai empati, rasa tanggungjawab, dan solidariti dalam kalangan sukarelawan yang terlibat.”

Penganjuran “Nom Nom Si Bulus” secara tidak langsung memperkukuh budaya prihatin dan kasih sayang terhadap haiwan dalam kalangan mahasiswa UTM. Ia juga sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan, kepedulian sosial, dan kesedaran sivik yang tinggi.

makanan yang diberikan kepada kucing jalanan

Kelab GPS UTM berharap inisiatif ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan yang berimpak positif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti kampus yang harmoni, inklusif, dan penuh rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar serta makhluk hidup yang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...