Ahad, 18 Mei 2025

Consumer Dash UTM 2025: Mencetus Gelombang Revolusi Kepenggunaan Dalam Kalangan Pelajar

JOHOR BAHRU, 18 MEI - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menganjurkan program Consumer Dash sebagai salah satu inisiatif di bawah Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025. Program ini diadakan dengan matlamat utama adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pelajar mengenai kepenggunaan serta hak-hak sebagai pengguna.


Program “Consumer Dash” yang dijalankan di AEON Mall Tebrau City

Program Consumer Dash ini dijalankan di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru yang disertai oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari pelbagai fakulti. Seramai 35 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam program ini yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Konsep yang digunakan dalam program ini berasaskan “Treasure Hunt” dimana peserta dikehendaki untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan di dalam Aeon Mall Tebrau City dalam tempoh tiga jam.

Peserta sedang menyelesaikan cabaran yang diberikan di dalam AEON Mall Tebrau City

Antara cabaran yang disediakan termasuklah 'Mall Hunt', di mana peserta dikehendaki menjawab soalan dalam Google Form berkaitan pusat membeli-belah AEON. Selain itu, cabaran 'Consumer Trivia' menguji pengetahuan peserta mengenai isu-isu kepenggunaan, manakala dalam cabaran 'Magic Word', peserta perlu mencari 'checkpoint' di kawasan mall untuk melengkapkan tugasan yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Aktiviti diteruskan dengan cabaran 'Consumer-fluencer', di mana peserta dikehendaki merakam video TikTok berdurasi 1 minit di lokasi yang ditetapkan di AEON Mall Tebrau City. Slot interaktif seperti kuiz dan permainan ini berjaya menguji pemahaman peserta tentang hak pengguna dan cara membuat keputusan yang bijak ketika berbelanja.

Krew KGPP yang sedang menjaga “checkpoint” di dalam AEON Mall

Penganjuran Consumer Dash bukan sahaja memberi impak positif kepada para peserta, tetapi juga berjaya menyampaikan mesej kepenggunaan dengan berkesan. Para pelajar yang menyertai program ini meluahkan rasa gembira dan berpendapat bahawa aktiviti seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi pengguna yang lebih bijak dan bertanggungjawab.

Kerjasama erat antara Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dan AEON Mall Tebrau City telah memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai objektif utamanya dalam meningkatkan kesedaran kepenggunaan, khususnya dalam kalangan pelajar UTM. Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk kesedaran mendalam terhadap kepenggunaan bijak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti pengguna yang lebih peka dan berpengetahuan terhadap hak mereka di pasaran.

Sesi bergambar setelah selesai program


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...