Sabtu, 17 Mei 2025

Sukan Rakyat Serlahkan Ilmu Kepenggunaan dan Warisan Tradisi

JOHOR BAHRU, 17 MEI - Pendidikan kepenggunaan dapat disemai melalui aktiviti fizikal seperti sukan. Menyedari hal ini, Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM telah menjadikan aktiviti bersukan sebagai platform untuk menyampaikan ilmu kepenggunaan kepada mahasiswa melalui penganjuran program Sukan Rakyat sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat sambil memperkenalkan pengetahuan berkaitan kepenggunaan dalam kalangan pelajar UTM.

Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di gelanggang bola jaring Kolej Tuanku Canselor (KTC), dengan penyertaan seramai 35 orang peserta yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan. Selain memupuk semangat kesukanan, sukan rakyat ini turut berperanan dalam memperkenalkan semula permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda akibat arus pemodenan.

Peserta sedang bermain permainan galah panjang.

Antara permainan tradisional yang dipertandingkan termasuk sepak raga, batu seremban, tarik upih, gasing, galah panjang, dan congkak. Aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan peserta, malah menghidupkan kembali nostalgia zaman kanak-kanak. Menariknya, setiap kumpulan perlu menjawab soalan berkaitan kepenggunaan di setiap ‘checkpoint’ permainan sebelum mereka dapat meneruskan permainan tersebut, menjadikan program ini bukan sekadar menyeronokkan, malah juga berinformasi.

Secara keseluruhannya, penganjuran program Sukan Rakyat ini bukan sahaja berjaya memupuk semangat kerjasama dan persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa, malah turut memberi pendedahan tentang kepentingan menjadi pengguna yang bijak. Penggabungan elemen fizikal dan pendidikan pengguna melalui permainan tradisional telah menjadikan program ini unik dan bermanfaat kerana membolehkan peserta “sambil menyelam minum air”. Program ini berjaya mencapai dua matlamat serentak — memperkukuh kesihatan fizikal dan menyemai ilmu kepenggunaan dalam kalangan mahasiswa.

Johan keseluruhan bagi permainan Sukan Rakyat.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi pengguna yang lebih peka, bertanggungjawab dan berpengetahuan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyemai nilai murni, tetapi juga membantu memelihara warisan budaya bangsa agar tidak terus dilupakan kerana adat warisan adalah sesuatu yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Gambar bersama penasihat GPS, krew dan peserta Sukan Rakyat


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...