Ahad, 24 Ogos 2025

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

 KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program Borneo Consumer Heroes 2025 bermula 19 hingga 22 Ogos 2025 di Papar, Sabah. Program ini bertujuan memperkasa kesedaran hak-hak pengguna, mempromosikan pendidikan sebagai hak asas, serta mengeratkan hubungan antara mahasiswa UTM dengan komuniti setempat di Sabah.

Seramai lebih 30 orang ahli GPS UTM telah menyertai program ini, dengan pengisian utama berlangsung pada 20 Ogos di Sekolah Menengah Kebangsaan Takis, Papar. Majlis pembukaan telah disusuli dengan slot perkongsian “Explore UTM: From Borneo to Beyond” oleh Encik Hasyiq bin Haji Hamdan yang memperkenalkan peluang pengajian di UTM kepada pelajar Tingkatan 6.

En Hasyiq, Penasihat GPS UTM menyampaikan perkongsian

Seterusnya, Presiden GPS UTM, Izzah binti Shahrul, menyampaikan slot “Pendidikan Sebagai Hak Utama” yang menekankan pengalaman “Life at UTM” serta kepentingan pendidikan sebagai salah satu daripada 8 hak pengguna yang digariskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Izzah binti Shahrul, Presiden GPS UTM memberikan perkongsian dan pengalaman

Menurut beliau, penganjuran program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk turun padang mendekati masyarakat serta menghayati nilai empati dalam memperjuangkan hak-hak pengguna.

“Kami percaya mahasiswa bukan sekadar menuntut ilmu di kampus, tetapi juga berperanan sebagai ejen perubahan yang mampu menyemai kesedaran pendidikan dan pengguna dalam kalangan masyarakat. Program ini membuktikan bahawa semangat kepenggunaan boleh diangkat melalui pendekatan ilmu, seni dan khidmat bakti. Ini adalah kali pertama GPS UTM menganjurkan program di luar Semenanjung dan merupakan kejayaan terbesar apabila kami dapat menjadikan SMK Takis, Papar sebagai sekolah angkat GPS UTM di Sabah, selain menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf. Diharapkan kejayaan ini dapat diteruskan dalam legasi GPS UTM,” ujar beliau.

Menariknya, elemen persilangan budaya turut diketengahkan melalui persembahan Zapin Johor oleh mahasiswa UTM yang kemudian dibalas dengan persembahan tarian tradisional Sabah oleh pelajar tempatan. Majlis penutup disemarakkan dengan tarian bersama iaitu tarian Sabah dan poco-poco, yang mengukuhkan ikatan mesra antara pelajar UTM dan warga sekolah.

Pada sebelah petang, program diteruskan di Kampung Benoni, Papar dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Antaranya ialah:

  • Inisiatif Pengguna Peduli: penyerahan bantuan barangan keperluan asas kepada 10 keluarga asnaf.

  • Energi Sukan Desa: pertandingan sukan tradisional termasuk lastik dan sukan bermindu.

  • Pertandingan Mewarna Kanak-kanak: aktiviti kreatif bagi meriahkan suasana desa.


GPS UTM bersama penduduk Kampung Benoni

Pengarah Program, Muhammad Hazeem bin Faizul Zahar, turut menyatakan rasa bangga atas kejayaan penganjuran ini.

“Ini merupakan kali pertama saya menjadi pengarah program di Sabah dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Saya berharap agar program ini dapat diteruskan ke sesi hadapan dengan pelbagai lagi inisiatif baharu yang selari dengan modul kepenggunaan yang dikeluarkan oleh KPDN,” katanya.,” katanya.

Sementara itu, penasihat GPS UTM, Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, menegaskan bahawa usaha ini seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berjiwa kepimpinan serta bertanggungjawab kepada komuniti.

Program Borneo Consumer Heroes 2025 berjaya meninggalkan impak besar kepada pelajar sekolah, penduduk kampung serta mahasiswa sendiri melalui pengisian berbentuk pendidikan, kebudayaan dan khidmat masyarakat. GPS UTM optimis untuk terus menjadikan inisiatif ini sebagai platform tahunan dalam memperkukuh jaringan masyarakat dan mahasiswa merentasi sempadan negeri.


Krew Borneo Consumer Heroes 2025


Khamis, 26 Jun 2025

Berjalan Sambil Berbakti: GPS UTM Menjayakan Program Litter-Ally Briskwalk

 JOHOR BAHRU, 25 Jun – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Litter-Ally Briskwalk bertempat di sekitar Kampus UTM Johor Bahru. Program ini menekankan dua elemen utama iaitu gaya hidup sihat melalui aktiviti briskwalk dan kesedaran kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

Seramai 12 peserta yang terdiri daripada mahasiswa UTM telah menyertai program ini. Aktiviti berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh dengan mesej mendalam, di mana para peserta bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain di sekitar kampus sambil memungut sampah yang ditemui sepanjang laluan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu membersihkan persekitaran, malah secara simbolik mendidik pelajar untuk lebih peka terhadap isu pencemaran.

peserta Litter-Ally Briskwalk melakukan aktiviti senamrobik

Menurut Pengarah Program, Norsyakila Binti Ali Mukhtar, penganjuran aktiviti ini bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa mengekalkan gaya hidup sihat sambil menyumbang kepada kelestarian kampus. “Kami ingin membiasakan pelajar dengan amalan kecil yang mudah tetapi memberi impak besar. Berjalan sambil memungut sampah membina kesedaran diri bahawa kebersihan dan kelestarian adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Program ini juga memberi nilai tambah kepada pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG). Dari aspek kesihatan, aktiviti briskwalk membantu mengurangkan risiko penyakit melalui gaya hidup aktif. Dari aspek kelestarian, aktiviti memungut sampah membuktikan bahawa setiap individu mampu memainkan peranan dalam mengekalkan ekosistem bersih dan lestari. Selain itu, program ini turut menggalakkan pembentukan komuniti mahasiswa yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

peserta melakukan aktiviti briskwalk

Walaupun disertai oleh bilangan peserta yang kecil, suasana yang terjalin sepanjang program sangat bermakna. Mahasiswa yang terlibat dapat berinteraksi rapat, berkongsi pandangan mengenai isu pencemaran, dan menyemai semangat kebersamaan untuk menjadikan kampus sebagai ruang yang lebih selesa dan bersih.

peserta Litter-Ally Briskwalk memungut sampah

Secara keseluruhan, program Litter-Ally Briskwalk berjaya mencapai objektif yang digariskan iaitu meningkatkan kesedaran, membudayakan gaya hidup sihat, dan memperkukuh nilai kepenggunaan yang bertanggungjawab. GPS UTM optimis untuk meneruskan inisiatif seumpama ini di masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai mahasiswa bagi memperluas impak positif terhadap komuniti kampus.


Ahad, 18 Mei 2025

Consumer Dash UTM 2025: Mencetus Gelombang Revolusi Kepenggunaan Dalam Kalangan Pelajar

JOHOR BAHRU, 18 MEI - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menganjurkan program Consumer Dash sebagai salah satu inisiatif di bawah Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025. Program ini diadakan dengan matlamat utama adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pelajar mengenai kepenggunaan serta hak-hak sebagai pengguna.


Program “Consumer Dash” yang dijalankan di AEON Mall Tebrau City

Program Consumer Dash ini dijalankan di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru yang disertai oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari pelbagai fakulti. Seramai 35 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam program ini yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Konsep yang digunakan dalam program ini berasaskan “Treasure Hunt” dimana peserta dikehendaki untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan di dalam Aeon Mall Tebrau City dalam tempoh tiga jam.

Peserta sedang menyelesaikan cabaran yang diberikan di dalam AEON Mall Tebrau City

Antara cabaran yang disediakan termasuklah 'Mall Hunt', di mana peserta dikehendaki menjawab soalan dalam Google Form berkaitan pusat membeli-belah AEON. Selain itu, cabaran 'Consumer Trivia' menguji pengetahuan peserta mengenai isu-isu kepenggunaan, manakala dalam cabaran 'Magic Word', peserta perlu mencari 'checkpoint' di kawasan mall untuk melengkapkan tugasan yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Aktiviti diteruskan dengan cabaran 'Consumer-fluencer', di mana peserta dikehendaki merakam video TikTok berdurasi 1 minit di lokasi yang ditetapkan di AEON Mall Tebrau City. Slot interaktif seperti kuiz dan permainan ini berjaya menguji pemahaman peserta tentang hak pengguna dan cara membuat keputusan yang bijak ketika berbelanja.

Krew KGPP yang sedang menjaga “checkpoint” di dalam AEON Mall

Penganjuran Consumer Dash bukan sahaja memberi impak positif kepada para peserta, tetapi juga berjaya menyampaikan mesej kepenggunaan dengan berkesan. Para pelajar yang menyertai program ini meluahkan rasa gembira dan berpendapat bahawa aktiviti seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi pengguna yang lebih bijak dan bertanggungjawab.

Kerjasama erat antara Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dan AEON Mall Tebrau City telah memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai objektif utamanya dalam meningkatkan kesedaran kepenggunaan, khususnya dalam kalangan pelajar UTM. Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk kesedaran mendalam terhadap kepenggunaan bijak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti pengguna yang lebih peka dan berpengetahuan terhadap hak mereka di pasaran.

Sesi bergambar setelah selesai program


Sabtu, 17 Mei 2025

Sukan Rakyat Serlahkan Ilmu Kepenggunaan dan Warisan Tradisi

JOHOR BAHRU, 17 MEI - Pendidikan kepenggunaan dapat disemai melalui aktiviti fizikal seperti sukan. Menyedari hal ini, Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM telah menjadikan aktiviti bersukan sebagai platform untuk menyampaikan ilmu kepenggunaan kepada mahasiswa melalui penganjuran program Sukan Rakyat sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat sambil memperkenalkan pengetahuan berkaitan kepenggunaan dalam kalangan pelajar UTM.

Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di gelanggang bola jaring Kolej Tuanku Canselor (KTC), dengan penyertaan seramai 35 orang peserta yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan. Selain memupuk semangat kesukanan, sukan rakyat ini turut berperanan dalam memperkenalkan semula permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda akibat arus pemodenan.

Peserta sedang bermain permainan galah panjang.

Antara permainan tradisional yang dipertandingkan termasuk sepak raga, batu seremban, tarik upih, gasing, galah panjang, dan congkak. Aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan peserta, malah menghidupkan kembali nostalgia zaman kanak-kanak. Menariknya, setiap kumpulan perlu menjawab soalan berkaitan kepenggunaan di setiap ‘checkpoint’ permainan sebelum mereka dapat meneruskan permainan tersebut, menjadikan program ini bukan sekadar menyeronokkan, malah juga berinformasi.

Secara keseluruhannya, penganjuran program Sukan Rakyat ini bukan sahaja berjaya memupuk semangat kerjasama dan persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa, malah turut memberi pendedahan tentang kepentingan menjadi pengguna yang bijak. Penggabungan elemen fizikal dan pendidikan pengguna melalui permainan tradisional telah menjadikan program ini unik dan bermanfaat kerana membolehkan peserta “sambil menyelam minum air”. Program ini berjaya mencapai dua matlamat serentak — memperkukuh kesihatan fizikal dan menyemai ilmu kepenggunaan dalam kalangan mahasiswa.

Johan keseluruhan bagi permainan Sukan Rakyat.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi pengguna yang lebih peka, bertanggungjawab dan berpengetahuan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyemai nilai murni, tetapi juga membantu memelihara warisan budaya bangsa agar tidak terus dilupakan kerana adat warisan adalah sesuatu yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Gambar bersama penasihat GPS, krew dan peserta Sukan Rakyat


Jumaat, 16 Mei 2025

Malam Galau Consumer Stars: Menyemai Kesedaran Kepenggunaan Melalui Irama dan Persembahan

JOHOR BAHRU, 16 MEI - Bertemakan “Malam Galau : Satu Malam Seribu Rasa” , Program Consumer Stars yang berlangsung di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Malaysia telah berjaya mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa dan mahasiswi UTM. Idea unik untuk menganjurkan program ini telah dicetuskan oleh Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia sebagai salah satu program sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025. Program ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan pelajar melalui persembahan yang interaktif dan informatif.


Antara peserta yang mengambil bahagian dalam malam Consumer Stars


Sebanyak 10 orang peserta mengambil bahagian dalam program yang berlangsung dari jam 8.00 hingga 11.00 malam. Pelbagai lagu dipersembahkan oleh para pelajar dalam suasana yang meriah dan bermakna. Program ini menjadi platform bagi peserta untuk menonjolkan bakat masing-masing di hadapan pelajar UTM. Malah, beberapa juri profesional turut dijemput khas untuk menilai kriteria nyanyian yang dipersembahkan oleh para peserta.


Barisan 10 peserta yang mengambil bahagian dalam acara Consumer Stars


Antara barisan juri jemputan profesional yang telah dijemput khas oleh krew KGPP 2025 ialah Encik Mohd Fauzi bin Abdul Rahman, Pegawai Tadbir dari Unit Kebudayaan, Encik Mohd Fauzi bin Abdul Rais, yang juga merupakan Pegawai Tadbir dari Unit Kebudayaan dan Encik Ardiyanto bin Arda@Ardah yang merupakan artis Residen UTM. Penilaian terhadap nyanyian dibuat terhadap peserta berdasarkan kepada vokal, persembahan pentas, kreativiti pemilihan lagu, penampilan dan sokongan audiens.


Barisan juri yang menilai peserta nyanyian pada malam Consumer Stars

Majlis turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik kepada 10 orang yang bertuah pada malam tersebut. Acara mencapai kemuncaknya apabila 5 orang pemenang diumumkan, masing-masing menerima hadiah lumayan. Kemenangan tersebut secara tidak langsung menjadi dorongan kepada para peserta untuk terus mengasah bakat mereka pada masa akan datang.


Audiens yang hadir pada malam Consumer Stars bagi memberi sokongan kepada penyanyi kesukaan mereka.


Program ini bukan sahaja mendapat sambutan hebat daripada peserta dan audiens yang hadir, tetapi turut menjadi platform untuk para pelajar menonjolkan bakat di samping menyampaikan mesej kepenggunaan kepada mahasiswa dan mahasiswi universiti.


Khamis, 15 Mei 2025

Kerajaan komited tangani kos sara hidup mahasiswa melalui PJRM

JOHOR BAHRU, 15 Mei – Mahasiswa UTM terus menunjukkan kesungguhan menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu kos sara hidup melalui penglibatan aktif dalam sesi Bual Bicara Pengguna bersama YB Senator Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Sesi anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor ini telah menghimpunkan pelbagai pihak, termasuk lapan orang wakil mahasiswa Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM, di Hotel Trove, Johor Bahru.

Pelajar UTM diberi peluang melihat secara langsung bagaimana inisiatif kerajaan seperti Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) digerakkan di dalam kampus. Program ini menawarkan diskaun 10% hingga 30% bagi barangan keperluan asas dan turut berlandaskan konsep Kedai Cari Rakyat, iaitu satu pendekatan runcit yang memastikan akses mudah, harga berpatutan dan memenuhi keperluan sebenar pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mahasiswa.

“Melalui PJRM, kita bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih rendah, malah berjaya mengurangkan tekanan kos sara hidup, terutamanya golongan B40,” kata YB Senator. Di Johor, program ini telah memberi impak besar dengan penjimatan melebihi RM15.4 juta.

Namun, YB Senator turut berkongsi bahawa pelaksanaan program ini berdepan beberapa cabaran.

“Cabaran utama adalah memastikan rantaian pembekalan kekal stabil supaya barangan sentiasa mencukupi, selain menggalakkan lebih banyak peruncit dan pengeluar terlibat aktif dalam konsep Kedai Cari Rakyat dan PJRM,” ujarnya.

Pemantauan harga dan kualiti barangan juga perlu dilakukan secara berterusan agar rakyat benar-benar mendapat manfaat. Peluang seperti ini membuka ruang untuk mahasiswa bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi terlibat secara langsung dalam usaha membentuk ekosistem pengguna yang lebih berdaya tahan.

Wakil GPS UTM bertanyakan soalan berkaitan konsep PJRM @ Kampus

Bagi mahasiswa UTM, konsep PJRM @ Kampus dilihat amat relevan dan dekat dengan situasi harian mereka. Akses kepada barangan pada harga mesra pelajar amat membantu dalam persekitaran kampus yang turut berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup. Kehadiran Kedai Cari Rakyat di dalam atau sekitar kampus diyakini mampu memberi kesan positif yang berterusan sekiranya diperluas dan diperkasakan.

Menarik perhatian mahasiswa, YB Senator turut melontarkan cabaran kepada mahasiswa, khususnya Gerakan Pengguna Siswa Negeri Johor, untuk menerajui program MySaveFood @ Pasar Malam.

“Sebelum ini, pada bulan Ramadan, kita berjaya menjayakan program MySaveFood @ Bazaar. Kali ini, saya ingin mencabar moderator kita, Insyirah, dan rakan-rakan mahasiswa UTM serta universiti lain supaya tampil ke hadapan menjayakan MySaveFood di pasar malam pula,” ujar beliau.

Program ini memberi peluang kepada mahasiswa menyelamatkan makanan lebihan yang masih selamat dimakan, untuk diagihkan semula kepada komuniti dan rakan pelajar yang memerlukan.

Sesi Bual Bicara Pengguna bersama YB Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang dikendalikan oleh Insyirah, mahasiswa UTM
Wakil GPS UTM bergambar bersama YB Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Wakil Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM turut hadir aktif dalam sesi ini, memberikan pandangan serta komitmen untuk bersama menjayakan program MySaveFood di peringkat kampus dan komuniti. Penglibatan aktif mahasiswa UTM ini turut memperlihatkan kesediaan generasi muda mendukung inisiatif kerajaan dalam membangun masyarakat yang lebih sejahtera dan lestari. Selain membina kesedaran tentang kelestarian makanan, inisiatif ini turut menggalakkan pelajar mengasah empati dan rasa tanggungjawab sosial.

Respon positif mahasiswa dalam sesi ini mencerminkan kesediaan belia untuk menjadi agen perubahan sosial yang proaktif. Dengan gabungan antara Program Jualan Rahmah Madani dan penglibatan aktif mahasiswa dalam pelbagai program kerajaan, masyarakat kini bergerak seiring dalam usaha menangani isu kos sara hidup. Mahasiswa UTM kini diberi peluang bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut berperanan sebagai sebahagian daripada solusi.

Perkongsian pentas antara pembuat dasar dan mahasiswa seperti ini tidak sekadar merapatkan jurang komunikasi antara generasi, malah memperlihatkan bagaimana suara belia dapat digembleng secara konstruktif dalam menangani isu-isu rakyat. Kesedaran, penglibatan dan tindakan yang berpaksikan ilmu menjadi cerminan kematangan mahasiswa dalam mendepani realiti semasa.

Wakil Kelab GPS UTM aktif melibatkan diri sepanjang sesi Advokasi Kepenggunaan berlangsung

Kelab GPS UTM Semarak Kesedaran Kebajikan Haiwan Melalui Program ‘Nom Nom Si Bulus’

 JOHOR BAHRU, 11 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama sukarelawan pelajar telah melaksanakan program “Nom Nom Si Bulus” yang merupakan sebuah usaha berterusan bagi memberi tumpuan terhadap penjagaan kucing-kucing jalanan di sekitar kampus UTM.

Program ini diwujudkan sebagai langkah berterusan dalam menyantuni haiwan terbiar, khususnya kucing jalanan yang sering berkeliaran di kawasan kampus. Dengan semangat keprihatinan dan sukarelawan, mahasiswa UTM daripada pelbagai kolej kediaman ampil berganding bahu menyediakan makanan serta memastikan kebajikan haiwan tersebut terpelihara. Pelaksanaan program dijalankan mengikut jadual sepanjang tempoh sebulan, bergantung kepada jumlah sumbangan makanan yang diterima daripada pihak luar yang prihatin.

pengagihan makanan kucing kepada peserta program

Selain memberi tumpuan kepada penyediaan makanan, sukarelawan turut dibekalkan dengan panduan pelaksanaan tugas yang menitikberatkan aspek tanggungjawab sosial, termasuk menjaga kebersihan kawasan selepas pengagihan. Langkah ini diambil bagi memastikan persekitaran kampus kekal selesa, sihat dan lestari.

peserta diberikan taklimat panduan pelaksaan tugas

Menurut pengarah program, “Nom Nom Si Bulus bukan sekadar usaha memberi makanan, tetapi platform untuk meningkatkan kesedaran sivik mengenai kebajikan haiwan. Ia juga membentuk nilai empati, rasa tanggungjawab, dan solidariti dalam kalangan sukarelawan yang terlibat.”

Penganjuran “Nom Nom Si Bulus” secara tidak langsung memperkukuh budaya prihatin dan kasih sayang terhadap haiwan dalam kalangan mahasiswa UTM. Ia juga sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan, kepedulian sosial, dan kesedaran sivik yang tinggi.

makanan yang diberikan kepada kucing jalanan

Kelab GPS UTM berharap inisiatif ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan yang berimpak positif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti kampus yang harmoni, inklusif, dan penuh rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar serta makhluk hidup yang lain.


Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...