Universiti Teknologi Malaysia - 7 Mei 2023 telah berlangsungnya Majlis Perasmian Penutupan Karnival Generasi Pengguna Pintar 2023 (KGPP’23) anjuran Kelab Gerakan Pengguna Siswa kampus Johor Bahru. Majlis ini merupakan acara kemuncak bagi Karnival Generasi Pengguna Pintar 2023 yang telah dianjurkan pada 5 hingga 7 Mei 2023, simbolik kepada landasan unik dalam memupuk pengetahuan dalam arena kepenggunaan dalam masyarakat setempat.
Acara ini telah berjaya menarik penglibatan dalam kalangan satu komuniti yang besar melalui penglibatan dalam kalangan mahasiswa IPT seluruh Malaysia, dan pelajar sekolah rendah seluruh negeri Johor. Antara aktiviti yang dipertandingkan yang berjaya memukau para peserta dan pengunjung adalah Cabaran Troli Pengguna, Eksplorasi Kepenggunaan, Bicara Kepenggunaan, Pertandingan Pidato Kepenggunaan IPT 2023 ‘Pengguna Berdaya, Negara Rahmah Sejahtera’ peringkat kebangsaan dan Choral Speaking peringkat sekolah negeri Johor.
Acara seperti Cabaran Troli Pengguna telah diadakan pada 5 Mei 2023 bertempat di Pasaraya Econsave Taman Teratai yang mendapat penyertaan seramai 18 orang mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia. Manakala, pertandingan Eksplorasi Kepenggunaan dan Bicara Kepenggunaan telah diadakan pada 6 Mei 2023 dan masing-masing telah menarik penyertaan melebihi jangkaan.
Majlis Perasmian Penutupan Karnival Generasi Pengguna Pintar 2023 ini telah dirasmikan oleh Tuan Adiratno bin Che Ani, Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN). Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan betapa pentingnya peranan pengguna dalam menyumbang kepada kemakmuran negara, serta mengiktiraf usaha ahli jawatankuasa program yang telah bertungkus - lumus dalam menjayakan karnival ini. Seterusnya, beliau juga memuji kesungguhan para peserta yang telah menyertai bagi menyemarakkan karnival ini.
Karnival Generasi Pengguna Pintar 2023 bukan sekadar acara, tetapi satu perhimpunan untuk merapatkan jurang antara pihak kerajaan, masyarakat, dan khususnya mahasiswa serta para pelajar dalam usaha menyebarkan ilmu kepenggunaan dalam pelbagai peringkat. Ia memberikan inspirasi dan peluang untuk merancang masa depan yang lebih baik dengan memahami dan menghormati hak serta tanggungjawab kepenggunaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan