Khamis, 13 Februari 2025

Majlis Perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025: Pembuka Tirai Tahun Ketiga Penganjuran

JOHOR BAHRU, 13 Mei - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan majlis perasmian sebagai simbolik menandakan bermulanya Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 yang berlangsung pada 13 hingga 18 Mei 2025. Majlis yang dihadiri oleh peserta, penganjur, penaja dan pihak berkepentingan ini berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. Majlis ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta menguar uarkan tempoh bermulanya KGPP 2025, sambil menekankan kepentingan pendidikan serta pemerkasaan pengguna dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bermaklumat, berwawasan, dan bertanggungjawab.


Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 10.45 pagi dan diikuti dengan ketibaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor iaitu Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif dan Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Yusof Bin Boon diiringi oleh Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Puan Lilis Saslinda Binti Pornomo, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Johor,Prof. Dr Edy Tonnizam Bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang disambut dengan penuh hormat oleh pihak penganjur. Majlis bermula dengan nyanyian Lagu Bangsa Johor dan Lagu Negaraku diikuti dengan bacaan doa pada jam 11.25 pagi. 


Ketibaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor iaitu Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif (di bahagian tengah) dan Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Yusof Bin Boon (dua dari kiri) ke Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM JB.


Majlis Perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 bermula pada jam 11.30 pagi yang dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan oleh Cik Nur Hidayah Binti Rosmade selaku timbalan pengarah Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025 dan diikuti oleh ucapan oleh Prof. Dr. Yusof Bin Boon, Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM. Seterusnya, ucapan perasmian oleh Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor. 


Ucapan daripada Prof. Dr. Yusof Bin Boon danTuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif 


Hasil usaha dan kerjasama krew KGPP 2025, gimik perasmian KGPP 2025 dipersembahkan dengan baik dan lancar. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj KGPP 2025 dan diikuti oleh sesi penyerahan kad diskaun khas menu rahmah yang diberikan kepada pengusaha kafetaria yang menawarkan hidangan menu rahmah kepada pelanggan khususnya di Universiti Teknologi Malaysia dan telah berdaftar dengan KPDN. Antara pengusaha kafetaria yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini ialah Laaa Mh Enterprise, Shajarah Barakah Sdn Bhd, Wawa Great Enterprise, East Coast Kitchen, Nsk Masakan Melayu dan Jtawan Selatan Enterprise. Pengusaha kafetaria yang mempunyai kad diskaun khas ini akan menikmati penjimatan harga apabila membuat pembelian bahan mentah di premis-premis perniagaan yang terpilih.


Gimik Perasmian Karnival Generasi Pengguna 2025


Sesi penyerahan kad diskaun khas menu rahmah kepada pengusaha kafetaria



Pengisian aktiviti berakhir pada pukul 12.15 tengahari setelah sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir. Rata-rata peserta meluahkan rasa keterujaan kerana berpeluang menjayakan majlis perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025. Peserta yang hadir juga berpeluang untuk mengetahui tentang program program yang dijalankan di bawah Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 seperti Consumer Pocket Talk, Bicara Kepenggunaan, Consumer Star, Consumer Dash, Escape Room: Spending Maze dan Sukan Rakyat. 


Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir.


Usaha-usaha yang dirancang oleh Jawatankuasa Pelaksana KGPP 2025 diharapkan mampu menginspirasi individu dan komuniti untuk mengambil tindakan konkrit dalam memahami isu-isu penting berkaitan penggunaan bijak dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi, sumber daya alam, dan kewangan. Warga Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dengan berbesar hati menjemput seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia untuk bersama-sama menjayakan program-program menarik yang bakal berlangsung sepanjang KGPP 2025 dengan pelbagai manfaat menanti para peserta.


Sabtu, 30 November 2024

GPS UTM Perkasa Agenda Kepenggunaan di Simposium Bersama IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail

 KUALA TERENGGANU, 29 November – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menjayakan Program Simposium Kepenggunaan Bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu, yang berlangsung dari 28 hingga 30 November 2024. Program ini menghimpunkan mahasiswa UTM bersama-sama guru pelatih IPGM dalam usaha memperkasa kesedaran kepenggunaan, memperkukuh jaringan intelektual serta mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi.

Seramai lebih 30 mahasiswa GPS UTM menyertai simposium ini, dengan pengisian utama berlangsung pada 29 November di Dewan IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail. Simposium tersebut memberi ruang kepada para peserta untuk membincangkan isu-isu kepenggunaan semasa, kepentingan pendidikan pengguna, serta peranan mahasiswa dan guru pelatih sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.

sesi perbincangan antara GPS UTM bersama IPGMKDRI

Selain sesi ilmiah, pengisian program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti pengukuhan ukhuwah. Antaranya termasuk kunjungan muhibbah dan aktiviti riadah bersama yang menyatukan GPS UTM dengan GPS IPGMKDRI melalui perkongsian pengalaman dan diskusi santai.

sesi aktiviti pengukuhan ukhuwah yang dijalankan

Menurut Pengarah Program, Muhammad Hazeem bin Faizul Zahar, penganjuran simposium ini memberi peluang kepada mahasiswa UTM untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan IPGM, selain menyemai kesedaran kepenggunaan melalui pendekatan pendidikan.

“Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada kedua-dua pihak. Semoga hubungan kerjasama ini dapat diteruskan ke masa hadapan dengan inisiatif yang lebih meluas dan berimpak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Penasihat GPS UTM, Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, menegaskan bahawa usaha ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berjiwa kepimpinan dan bertanggungjawab kepada komuniti.

“Simposium ini bukan sahaja menjadi platform ilmu, tetapi juga jambatan kerjasama antara UTM dan IPGM dalam memperkasa agenda kepenggunaan di Malaysia,” ujarnya.

GPS UTM bersama IPGMKDRI

Program yang berlangsung selama tiga hari ini turut disertakan dengan lawatan santai ke lokasi ikonik Terengganu seperti Masjid Kristal, Pantai Batu Buruk, dan Pasar Payang, yang memperkayakan pengalaman budaya peserta.

Secara keseluruhan, Simposium Kepenggunaan GPS UTM – IPGMKDRI 2024 telah meninggalkan impak besar terhadap peserta dengan menekankan nilai kepenggunaan, pendidikan dan semangat kebersamaan. GPS UTM optimis untuk menjadikan inisiatif seumpama ini sebagai kesinambungan program tahunan dalam memperkukuh jaringan masyarakat, guru pelatih, dan mahasiswa merentasi negeri.


Khamis, 13 Jun 2024

Karnival Generasi Pengguna Pintar: Bicara Kepenggunaan Mengenai Belia & Krisis Kewangan

JOHOR BAHRU, 24 Mei - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan Program "Bicara Kepenggunaan" yang merupakan satu inisiatif yang penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap hak asas pengguna di kalangan mahasiswa dan staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Bertemakan "Belia Dan Krisis Kewangan", program ini bertujuan untuk memberikan pemahaman mendalam mengenai cabaran kewangan yang dihadapi oleh golongan belia serta langkah-langkah untuk menguruskan kewangan dengan bijak.

 

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UTM memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan dan sikap mahasiswa terhadap hak asas pengguna. Dengan adanya Bicara Kepenggunaan ini, pihak pengurusan UTM bermatlamat untuk memberikan pendedahan menyeluruh dan mendalam mengenai aspek-aspek penting dalam hak asas pengguna, termasuk perundangan yang melibatkan isu-isu pengguna.

 

Dalam konteks pendidikan tinggi, kesedaran mengenai hak asas pengguna memainkan peranan penting dalam pembentukan sikap dan pandangan mahasiswa. Tujuan program ini adalah untuk menambah kesedaran kepada peserta untuk menjadi pengguna yang bijak dalam melakukan perbelanjaan seharian, menyokong kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta mempertingkatkan pengetahuan mengenai Hari Pengguna Kebangsaan.

 

Siaran langsung program melalui aplikasi ‘facebook’

 

Acara ini dijalankan melalui platform Webex dan Facebook Live. Program ini turut mempersembahkan panel-panel terkenal dalam bidang masing-masing. Antara panel-panel yang dijemput termasuklah ASP Rahmat Fitri B Abdullah dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Abdul Rahman Bin Mohd Jamadi, CEO dan Founder AJ Geeks SDN BHD. Mereka akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai isu-isu kewangan serta memberikan pandangan yang berharga kepada peserta.

 

Slot Kuiz Kepenggunaan

 

Selain daripada sesi bicara, program ini turut menyediakan pelbagai aktiviti lain termasuk sesi soal jawab dengan panel, sesi bergambar bersama panel dan slot Kuiz Kepenggunaan dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi. Diharapkan melalui program ini, peserta dapat memperoleh pengetahuan yang berguna serta menjadi individu yang lebih berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam masyarakat.

 

Harapan program "Bicara Kepenggunaan" ini supaya dapat memberikan impak yang signifikan kepada peserta dalam memahami peranan mereka sebagai pengguna yang bertanggungjawab dalam masyarakat. Dengan menyediakan platform untuk berinteraksi dan bertukar pendapat, UTM berharap dapat melahirkan individu yang lebih berpengetahuan dan peka terhadap isu-isu penting dalam masyarakat.

 

Pihak penganjur menggalakkan kesemua mahasiswa dan staf UTM untuk menyertai program ini dan turut serta dalam memperkukuhkan kesedaran kepenggunaan di kalangan komuniti dan dapat menjadi satu langkah positif dalam membentuk masyarakat yang lebih bijak dalam pengurusan kewangan dan lebih peka terhadap hak-hak pengguna. Inisiatif seperti ini perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai pembangunan insan yang holistik dan berkemahiran.

Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Menganjurkan Ceramah Pemerkasaan Pengguna: Memperkukuh Kesedaran di Era Digital

JOHOR BAHRU, 19 Mei - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan program ceramah yang bertujuan untuk memupuk kesedaran dan pemerkasaan dalam kalangan pengguna, terutamanya di era digital. Program ini dihadiri oleh lebih 65 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, staf, dan komuniti setempat yang menunjukkan minat mendalam terhadap isu-isu kepenggunaan.

 

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 8.00 malam diikuti dengan ketibaan penceramah jemputan dari FOMCA (Federation of Malaysian Consumers Associations) yang disambut dengan penuh hormat oleh pihak penganjur. Majlis bermula dengan kata aluan pengacara majlis diikuti dengan bacaan doa pada jam 8.30 malam.

 


Ceramah pemerkasaan pengguna di era digital

 

 

Ceramah Pemerkasaan Pengguna oleh FOMCA bermula pada jam 8.35 malam. Ceramah ini sangat informatif dan interaktif, merangkumi topik-topik penting seperti hak dan tanggungjawab pengguna di era digital, kecekapan tenaga, dan jenis penipuan kewangan digital. Penceramah menerangkan dengan jelas bagaimana pengguna boleh melindungi diri mereka daripada penipuan digital yang semakin canggih dan meluas. Sesi ini juga diikuti dengan sesi soal jawab, di mana peserta berpeluang untuk berinteraksi dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada penceramah. Pelbagai soalan yang diajukan menunjukkan minat dan keprihatinan peserta terhadap isu-isu yang dibincangkan.

 

Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 bermula pada jam 9.50 malam. Pengarah program memberikan kata aluan, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau juga menekankan pentingnya kesedaran pengguna di kalangan generasi muda dalam menghadapi cabaran dunia digital. Gimik perasmian pembukaan yang kreatif dan menarik menambahkan lagi kemeriahan majlis. Acara ini juga melibatkan sesi penyampaian cenderamata kepada penceramah dan tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan. Selain itu, cabutan bertuah diadakan dengan hadiah menarik yang ditawarkan, meningkatkan keterujaan peserta.

 

Sesi bergambar bersama penganjur

 


Secara keseluruhannya, program ceramah ini telah memberi manfaat besar kepada para peserta dengan meningkatkan kesedaran tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna di zaman digital ini serta mengelakkan diri dari terjebak dalam penipuan kewangan digital. Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 yang telah dirasmikan dalam majlis ini juga diharapkan dapat terus memperkukuhkan kesedaran pengguna di kalangan pelajar dan masyarakat. Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM berharap untuk terus menganjurkan lebih banyak program sebegini di masa hadapan bagi memperkasakan lagi pengguna di Malaysia.

Sabtu, 8 Jun 2024

Majlis Penutup Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 Anjuran Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Dapat Sambutan Hangat Berbagai Pihak.

 Majlis Penutup Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 Anjuran Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Dapat Sambutan Hangat Berbagai Pihak.


JOHOR BAHRU, 2 Jun - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan majlis penutup bagi merayakan dan menandakan berakhirnya Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 yang telah berlangsung pada 24 hingga 25 Mei. Majlis ini dihadiri oleh peserta, penganjur, penaja dan pihak berkepentingan yang berkumpul untuk merenung pencapaian dan hasil sepanjang karnival berjalan. Majlis ini bertujuan sebagai detik perpaduan dan penghargaan, menekankan kepentingan pendidikan dan pemerkasaan pengguna dalam mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat dan bertanggungjawab. 


Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 11.30 pagi diikuti dengan ketibaan Pengarah KPDN Johor iaitu Puan Lilis Saslinda binti Pornomo yang disambut dengan penuh hormat oleh pihak penganjur. Majlis bermula dengan nyanyian Lagu Bangsa Johor dan Lagu Negaraku diikuti dengan bacaan doa pada jam 12.10 tengah hari. 


Perasmian Majlis Penutup Karnival Generasi Pengguna Pintar oleh Puan Lilis Saslinda


Majlis Perasmian Penutup Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 bermula pada jam 12.30 tengah hari yang dimulakan dengan  penyampaian ucapan aluan oleh Cik Izzah binti Shahrul selaku pengarah Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 yang diikuti dengan ucapan perasmian oleh Puan Lilis Saslinda binti Pornomo, Pengarah KPDN Johor. Hasil usaha dan kerjasama krew KGPP 2024, gimik perasmian KGPP 2024 dapat dipersembahkan dengan baik dan lancar. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj KGPP 2024 dan perkenalan logo baru Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM.


Sesi Penyampaian Hadiah 


Pengisian program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang menyertai program - program yang dilaksanakan sepanjang karnival KGPP 2024 seperti “Cabaran Bakul Pengguna”. “Consumer Dash” dan “Pertandingan Pidato Kepenggunan IPT 2024” yang disampaikan oleh Puan Lilis Saslinda dan diiringi oleh Cik Nurul Izzah. Majlis diteruskan dengan persembahan khas daripada Muhammad Ieman Aqasha bin Mohd Zaidi selaku Johan Pertandingan Pidato Kepenggunaan IPT 2024.

Persembahan Muhammad Eiman Aqasha (Johan Pertandingan Pidato Kepenggunaan IPT 2024)


Disamping itu, pihak Aeon telah bermurah hari menaja hadiah-hadiah cabutan bertuah berupa produk perkakas rumah seperti Air Fryer, dan pemanas air yang memeriahkan lagi majlis penutup Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024. 


Sesi Bergambar Majli Penutup KGPP 2024


Pengisian aktiviti berakhir pada pukul 2.00 petang setelah sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana serta peserta yang hadir dari pelbagai negeri. Rata-rata peserta melahirkan rasa keterujaan mereka kerana dapat bersama-sama menjayakan Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 ini dan penganjuran KGPP 2024 dilihat berjaya memenuhi objektif utama program dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya mahasiswa dan mahasiswi mengenai hak dan tanggungjawab sebagai seorang pengguna bijak.


Usaha-usaha yang dirancang oleh jawatankuasa pelaksana KGPP 2024 diharapkan mampu mengilhamkan individu dan kumpulan untuk mengambil tindakan konkrit dalam memahami isu-isu penting berkaitan dengan penggunaan secara bijak dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi, sumber daya alam dan kewangan. Warga Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan jawatankuasa pelaksana KGPP 2024 atas kecemerlangan dan kejayaan melaksanakan program. Coming together is a beginning. Keeping together is  progress. Working together is a success.








Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Laksana Pertandingan Pidato : Pidato Kepenggunaan IPT 2024

Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Laksana Pertandingan Pidato : Pidato Kepenggunaan IPT 2024


JOHOR BAHRU, 2 Jun - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan pertandingan pidato yang bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta dan penonton untuk memahami isu-isu penting berkaitan dengan penggunaan secara bijak dalam pelbagai aspek kehidupan. Program ini melibatkan seramai 12 orang peserta daripada berbagai institusi pendidikan seperti Institut Pendidikan Guru, Kolej Profesional Mara, Politeknik, dan Universiti awam dari berbagai negeri. 


Program bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi yang disusuli dengan taklimat oleh ketua panel juri pertandingan yang menerangkan syarat-syarat pertandingan bagi memastikan kelancaran program. Majlis bermula dengan kata aluan pengacara majlis dan diikuti dengan persembahan dari peserta pidato pertama pada jam 9.15 pagi. Pertandingan dilanjutkan dengan pemidato-pemidato berikutnya dan pertandingan selesai pada jam 11.30.


Persembahan Peserta Pidato Kepenggunaan IPT 2024


Persembahan pidato yang disampaikan oleh kesemua pemidato sangat memukau dengan penggunaan suara dan bahasa tubuh yang efektif, emosi yang terkendali serta pengisian dengan penuh fakta. Hal ini secara telah tidak langsung memperkenalkan kepada masyarakat tentang isu-isu yang berkaitan dengan penggunaan yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya penggunaan yang bijak dalam pelbagai aspek kehidupan. 


Program dilanjutkan dengan penilaian juri untuk penentuan kedudukan tempat Johan, Naib Johan, Ketiga dan dua saguhati yang diumumkan semasa majlis penutup yang dilaksanakan pada hari yang sama. 


 

Pemenang - pemenang Pertandingan Pidato Kepenggunaan IPT 2024


Pemidato-pemidato yang berjaya mendapat tempat telah membawa hadiah kemenangan berbentuk wang serta plak. Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga akan membawa RM2000, RM1500 dan RM1000 masing-masing manakala saguhati membawa pulang RM500. Muhammad Ieman Aqasha bin Mohd Zaidi, Muhammad Ilham Hakim bin Mohd Qhorizam, dan Muhammad Nur Solihin bin Malik Radzuan berjaya menempatkan diri sebagai Johan, Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing. Manakala, hadiah saguhati telah diberikan kepada Nur Izyan Najwa binti Mohmad Nazer dan Muhammad Adam Syahmi bin Abd Wahab. Kesemua pemenang telah menunjukkan persembahan yang terbaik dan berjaya memukau panel juri dan penonton yang turut hadir semasa pertandingan pidato tersebut.


Melalui pertandingan pidato kepenggunaan IPT 2024 yang diusahakan oleh ahli jawatankuasa dan krew Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 anjuran kelab gerakan pengguna siswa UTM mampu memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua peserta pidato dan semua warga yang terlibat semasa program dijalankan. Adalah diharapkan program yang dianjurkan oleh kelab gerakan pengguna siswa UTM ini mampu mendorong perubahan positif dalam tingkah laku dan amalan masyarakat






Isnin, 8 April 2024

Berbagi Berkah Ramadhan: Inisiatif Kelab Gerakan Pengguna Siswa untuk membantu sesama insan

JOHOR BAHRU – 29 MAC 2024, Kelab Gerakan Pengguna Siswa telah menganjurkan Program Berkat Ramadhan yang penuh bermakna serta menyentuh hati. Dalam masa dua hari berturut-turut, kelab ini telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat sekitar dan ini telah  membuktikan semangat kerjasama dan memupuk sifat murah hati yang menjadi asas utama Ketika bulan Ramadhan.

 

Pada hari pertama program, yang bermula pada pukul 08.00 pagi, kelab mengedarkan sumbangan kepada asnaf di Masjid Pulai Indah. Semua kabinet kelab turut serta dalam aktiviti ini, menunjukkan semangat kerjasama dan sifat prihatin  mereka terhadap kesejahteraan komuniti. Selepas Solat Jumaat, anggota kelab bersama-sama memasak bubur lambuk dengan terhasil aroma harum yang memenuhi ruang masjid tersebut serta memberikan sentuhan hangat kepada mereka yang memerlukan. Aktiviti ini terus berlanjut sehingga ke waktu berbuka puasa, di mana anggota kelab berkumpul semula untuk berbuka puasa bersama komuniti di Masjid Pulai Indah. Suasana yang meriah diwujudkan lalu mengukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan mereka dan membawa keterujaan kepada semua yang hadir.

 


Sesi foto bersama ajk dan komuniti Masjid Pulai Indah

 

Pada hari kedua program, pada 30 Mac 2024, aktiviti yang menarik turut diadakan yang dimana Kelab Volunteer dengan kerjasama Kelab Gerakan Pengguna Siswa telah  mengadakan Program Berbuka Puasa Bersama di Rumah Kebajikan Anak Yatim Bandar Tenggara pada pukul 03.00 petang. Walaupun hanya melibatkan 10 orang Sahaja daripada ahli jawatan kuasa yang terlibat namun  kehadiran mereka dapat mencipta ukir senyuman dan kegembiraan oleh anak-anak yatim tersebut yang merindui kasih sayang dan perhatian. Ketibaan mereka disambut dengan meriah oleh staf rumah kebajikan, yang turut gembira menyambut kedatangan mereka.

 

Selama dua jam setengah berikutnya, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti bersama anak-anak yatim. Mulai dari permainan, ceramah motivasi, hinggalah tamat, semua dilakukan dengan tujuan untuk membawa kegembiraan kepada anak-anak yang berada di rumah kebajikan tersebut.



Aktiviti dan permainan yang menarik Bersama anak-anak yatim Bandar Tenggara


Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang

                                                       

Kemuncak program ini adalah pada pukul 7 petang, di mana semua peserta dan anak-anak yatim berkumpul untuk berbuka puasa bersama. Suasana di meja makan dipenuhi dengan keceriaan dan kebahagiaan, sementara setiap suapan makanan yang diambil dengan penuh rasa syukur.

 

Setelah berbuka puasa, peserta dan anak-anak yatim bersama-sama melaksanakan solat berjemaah. Selesainya program pada pukul 10 malam, mereka telah  meninggalkan kesan yang mendalam di hati anak-anak yatim tersebut, peserta program bersama-sama bertolak pulang ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membawa bersama kenangan manis dari pengalaman yang bermakna tersebut.

 

Sesi bergambar AJK dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Bandar Tenggara

 

Program berkat Ramadhan ini mencerminkan semangat kebersamaan, kemurahan hati, dan kepedulian sosial yang menjadi nilai inti bagi kelab tersebut. Melalui tindakan nyata mereka, mereka telah menyentuh banyak hati, membawa sinar harapan dan kebaikan dalam bulan penuh berkah ini. Semoga semangat ini terus berkobar dan dapat beri inspirasi kepada semua orang untuk terus berbuat kebaikan.

Borneo Consumer Heroes 2025: UTM GPS Perkukuh Kepenggunaan dan Jalinan Komuniti di Sabah

  KOTA KINABALU, 22 Ogos – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Program B...