JOHOR BAHRU, 11 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama sukarelawan pelajar telah melaksanakan program “Nom Nom Si Bulus” yang merupakan sebuah usaha berterusan bagi memberi tumpuan terhadap penjagaan kucing-kucing jalanan di sekitar kampus UTM.
Program ini diwujudkan sebagai langkah berterusan dalam menyantuni haiwan terbiar, khususnya kucing jalanan yang sering berkeliaran di kawasan kampus. Dengan semangat keprihatinan dan sukarelawan, mahasiswa UTM daripada pelbagai kolej kediaman ampil berganding bahu menyediakan makanan serta memastikan kebajikan haiwan tersebut terpelihara. Pelaksanaan program dijalankan mengikut jadual sepanjang tempoh sebulan, bergantung kepada jumlah sumbangan makanan yang diterima daripada pihak luar yang prihatin.
pengagihan makanan kucing kepada peserta program
Selain memberi tumpuan kepada penyediaan makanan, sukarelawan turut dibekalkan dengan panduan pelaksanaan tugas yang menitikberatkan aspek tanggungjawab sosial, termasuk menjaga kebersihan kawasan selepas pengagihan. Langkah ini diambil bagi memastikan persekitaran kampus kekal selesa, sihat dan lestari.
peserta diberikan taklimat panduan pelaksaan tugas
Menurut pengarah program, “Nom Nom Si Bulus bukan sekadar usaha memberi makanan, tetapi platform untuk meningkatkan kesedaran sivik mengenai kebajikan haiwan. Ia juga membentuk nilai empati, rasa tanggungjawab, dan solidariti dalam kalangan sukarelawan yang terlibat.”
Penganjuran “Nom Nom Si Bulus” secara tidak langsung memperkukuh budaya prihatin dan kasih sayang terhadap haiwan dalam kalangan mahasiswa UTM. Ia juga sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan, kepedulian sosial, dan kesedaran sivik yang tinggi.
makanan yang diberikan kepada kucing jalanan
Kelab GPS UTM berharap inisiatif ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan yang berimpak positif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti kampus yang harmoni, inklusif, dan penuh rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar serta makhluk hidup yang lain.
JOHOR BAHRU, 14 MEI - Program Bicara Kepenggunaan merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai hak asas pengguna dalam kalangan mahasiswa. Program ini merupakan anjuran Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025. Bertemakan “Tiktok Shop: Trend Membeli atau Perangkap Digital” , sebuah forum eksklusif yang membongkar realiti mengenai penggunaan Tiktok Shop di antara panel daripada Universiti Teknologi Malaysia, IPG Kampus Dato Razali Ismail, Terengganu, Universiti Malaysia Sabah dan jemputan istimewa panel antarabangsa dari Universitas Airlangga, Indonesia.
Poster Bicara Kepenggunaan dengan tema Tiktok Shop: Trend Membeli atau Perangkap Digital
TikTok Shop ialah ciri beli-belah dalam aplikasi TikTok yang menggabungkan elemen media sosial dan e-dagang. Melaluinya, pengguna boleh membeli dan menjual produk secara terus tanpa perlu keluar dari aplikasi. Penjual boleh mempromosikan barangan mereka melalui video pendek, penstriman langsung (live), atau menerusi profil mereka sendiri, manakala pembeli pula boleh membuat pembayaran terus melalui sistem yang telah disediakan. TikTok Shop turut menawarkan ciri afiliasi, di mana pencipta kandungan boleh memperoleh komisen dengan mempromosikan produk milik penjual lain.
Ciri ini berkembang pesat terutamanya di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia. Namun begitu, TikTok Shop pernah berdepan sekatan operasi di Indonesia sekitar Oktober 2023 kerana isu peraturan perdagangan. Walau bagaimanapun, terdapat usaha untuk menghidupkan semula perkhidmatan ini melalui kerjasama dengan platform tempatan dan penyesuaian kepada peraturan sedia ada. Secara keseluruhannya, TikTok Shop menjadi satu inovasi yang menarik dalam dunia perniagaan digital kerana ia menggabungkan hiburan dan urusan jual beli dalam satu platform yang interaktif. Mewakili suara mahasiswa dari dua buah negara, isu mengenai TikTok Shop ini dikupas dengan penuh teliti dan jelas dalam forum ini oleh individu yang aktif, berpengaruh dan cukup berpengalaman dalam isu-isu kepenggunaan.
Sesi forum dimulakan pada jam 8.00 p.m. dengan pendaftaran peserta masuk ke dalam siaran langsung YouTube di laman rasmi YouTube Gerakan Pengguna Siswa. Siaran langsung dimulakan dengan diskusi daripada panel pertama, Muhammad Farihul Asyraaf bin Azizul Rahman selaku Presiden Gerakan Pengguna Siswa IPG Kampus Dato Razali Ismail, Terengganu diikuti oleh panel yang kedua iaitu panel khas dari Indonesia, Israfiyla Dhovieriansyah Shofianovic yang merupakan Ketua Department Ekonomi Kreatif, Badan Eksekutif Mahasiswa Fakultas Hukum Universitas Airlangga, Indonesia dan panel ketiga iaitu Manmohan A/L Nathan selaku Presiden Gerakan Pengguna Siswa Universiti Malaysia, Sabah.
Bersama panel-panel ketika penstriman langsung sedang berjalan
Sesi soal jawab berlangsung dengan lancar dan memberikan maklumat yang sangat berguna kepada para peserta yang mengikuti penstriman langsung pada malam tersebut. Program kemudian diteruskan dengan slot kuiz interaktif yang dianjurkan oleh Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM bagi memastikan peserta memperoleh ilmu yang bermanfaat sepanjang penstriman. Hadiah turut disediakan kepada peserta yang berjaya meraih tempat pertama, kedua dan ketiga.
Bersama panel-panel dari Malaysia dan Indonesia dalam sesi yang penuh informatif
Program Bicara Kepenggunaan telah berjaya menjadi platform ilmiah yang efektif dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, khususnya dalam konteks penggunaan TikTok Shop. Forum yang menghimpunkan panel dari pelbagai institusi dalam dan luar negara ini telah membuka ruang perbincangan yang kritis dan menyeluruh tentang kebaikan serta risiko yang wujud di sebalik fenomena e-dagang moden. Topik yang diketengahkan amat relevan dengan gaya hidup digital masa kini, sekali gus memberi nilai tambah kepada para peserta.
Izzah binti Shahrul selaku Presiden Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM sesi 2024/2025 menyatakan rasa amat berbangga terhadap komitmen dan dedikasi krew Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 yang berjaya merealisasikan program kolaborasi antarabangsa ini. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini menjadikan GPS UTM sebagai GPS pertama di Malaysia yang berjaya melaksanakan program kolaborasi bersama universiti luar negara. Menurut beliau, pencapaian ini merupakan satu batu loncatan penting bagi GPS UTM dalam memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa. Beliau berharap kejayaan ini mampu menjadi inspirasi kepada seluruh Gerakan Pengguna Siswa di Malaysia untuk terus melangkah lebih jauh dan berani meneroka peluang kolaborasi global pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi pendedahan yang berguna melalui sesi forum dan soal jawab, malah turut menyemarakkan semangat interaktif dalam kalangan peserta menerusi kuiz dan penyertaan aktif sepanjang penstriman langsung. Usaha Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dalam menganjurkan program seperti ini wajar dipuji dan diteruskan pada masa akan datang kerana ia mampu melahirkan generasi pengguna yang lebih celik, berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran dunia digital.
JOHOR BAHRU, 14 Mei –Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di Johor dalam penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI @Kampus. Inisiatif strategik ini digerakkan bertujuan untuk membantu dan meringankan beban kos sara hidup warga kampus, khususnya dalam kalangan pelajar.
Program yang berlangsung di Student Union Building, UTM Johor Bahru, menerima kunjungan Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sebagai sebahagian lawatan kerja beliau ke Johor.
Inisiatif ini dianjurkan menerusi kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bahagian Pemajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM di bawah Jabatan Timbalan Naib Casnelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Program ini menjadi medan kolaborasi antara kementerian dan institusi pendidikan tinggi dalam mendekati keperluan sebenar pelajar khususnya yang merupakan sebahagian komuniti kampus.
Sebanyak 37 jenis barangan keperluan (SKU) ditawarkan sepanjang program ini dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Antara barangan yang dijual termasuk 23 SKU makanan kering seperti telur, roti, biskut dan air minuman; 4 SKU barangan penjagaan diri seperti ubat gigi dan berus gigi; serta 10 SKU alat tulis seperti kertas A4, pen dan pensel. Semua barangan ini disediakan oleh pihak UTM melalui Bahagian Pemajuan sebagai langkah intervensi yang proaktif dan menyeluruh untuk menyokong kebajikan pelajar.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata universiti sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, lestari dan sejahtera kepada seluruh warganya.
“Kesejahteraan pelajar dari sudut kehidupan harian merupakan asas kepada kekuatan akademik dan pembangunan kepimpinan. Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja memberi bantuan terus kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga memupuk budaya kepedulian sosial dalam kalangan warga kampus,” ujarnya.
Prof. Dr. Shafry (kiri) bersama Timbalan Menteri KPDN, YB Senator Dr. Fuziah ketika bertemu pelajar yang membuat pembelian barangan pada program ini
Prof. Dr. Shafry turut menegaskan usaha ini menunjukkan pendekatan UTM yang proaktif dan kolaboratif dalam mendepani isu kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif bersasar.
Program Jualan Rahmah MADANI @Kampus dilihat selari dengan aspirasi kerajaan melalui gagasan Malaysia MADANI, khususnya dalam mencerminkan nilai Ihsan, Kesejahteraan dan Keprihatinan yang menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, termasuk di peringkat kampus.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar dan staf universiti, malah turut menyemai budaya prihatin dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti kampus secara menyeluruh.
Izzah binti Shahrul, Presiden GPS UTM bersama Muhammad Hazim, YDP MPP diberikan peluang mengiringi Timbalan Menteri KPDN, YB Senator Dr. Fuziah
Izzah binti Shahrul, selaku Presiden GPS UTM, menyatakan rasa berbesar hati kerana menerima kunjungan Timbalan Menteri KPDN, YB Senator Dr. Fuziah sempena Program Jualan Rahmah MADANI @Kampus yang berlangsung di UTM. Beliau menegaskan bahawa kunjungan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada usaha mahasiswa dalam menjayakan agenda kepenggunaan, malah menjadi bukti komitmen kerajaan dalam mendekati golongan pelajar di kampus. Kehadiran YB Senator Dr. Fuziah turut memberikan suntikan semangat kepada mahasiswa untuk terus aktif memperjuangkan kebajikan pengguna di peringkat universiti. GPS UTM pula menegaskan komitmen mereka untuk terus menjaga kebajikan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif yang meringankan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesedaran kepenggunaan bijak, dengan harapan program ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan melahirkan generasi mahasiswa yang lebih peka dan bertanggungjawab sebagai pengguna.
Muhammad Syamil Mohd Zuhairini, pelajar tahun akhir fakulti Kejuruteraaan Mekanikal UTM, ketika ditemui menyifatkan program ini sangat bermanfaat dalam membantu golongan pelajar yang sememangnya amat memerlukan bantuan dalam meringankan beban kos sara hidup.
Muhammad Syamil, antara pelajar yang mendapatkan barangan keperluan sewaktu Jualan Rahmah MADANI @Kampus di UTM Johor Bahru hari ini
“Inisiatif Jualan Madani ini sangat membantu pelajar, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan, kerana menawarkan barang keperluan harian dengan harga lebih murah berbanding di luar. Contohnya hari ini barangan yang saya beli harganya lebih murah kira-kira sehingga 20%. Saya harap program sebegini diteruskan demi kebajikan pelajar di kampus.”
Bahagian Pemajuan dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM bertindak sebagai penyelaras utama penyediaan barangan, manakala Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM turut memainkan peranan penting sebagai sukarelawan dalam memastikan kelancaran penganjuran.
Selain itu, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Senator Dr. Fuziah, telah turun padang ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi melihat sendiri kejayaan pelaksanaan Menu Siswa Rahmah yang berjaya diperkasakan dan dihidupkan semula oleh Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM. Kunjungan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada usaha mahasiswa dalam menjayakan agenda kepenggunaan, malah menjadi bukti komitmen kerajaan dalam mendekati golongan pelajar di kampus. Kehadiran YB Senator Dr. Fuziah turut memberikan suntikan semangat kepada mahasiswa untuk terus aktif memperjuangkan kebajikan pengguna di peringkat universiti.
Peniaga menunjukkan Nasi Arab berharga RM5 sebagai sebahagian daripada Menu Siswa Rahmah di UTM
GPS UTM menegaskan komitmen mereka untuk terus menjaga kebajikan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif yang bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, tetapi juga meningkatkan kesedaran kepenggunaan bijak dalam kalangan pelajar. Kejayaan Menu Siswa Rahmah di UTM menjadi contoh bagaimana usaha mahasiswa mampu memberi impak besar kepada komuniti kampus, sekaligus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam melahirkan generasi pengguna yang lebih peka dan bertanggungjawab.
JOHOR BAHRU, 13 MEI - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan sebuah program yang memberikan manfaat sebagai pengguna iaitu program Consumer Pocket Talk. Program yang melibatkan kehadiran peserta, penganjur, penaja, dan pihak berkepentingan ini diadakan di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. Program ini bertujuan bagi memberi pemahaman dan meningkatkan pengetahuan tentang pendidikan kepenggunaan serta keprihatinan terhadap isu-isu kepenggunaan dalam usaha melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan mahasiswa, terutamanya di UTM.
Consumer Pocket Talk dihadiri oleh KPDN Pontian Johor
Program ini dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi dan diikuti dengan ketibaan Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pontian, Tuan Md Abdul Rauf bin Basri, Pegawai Pemantau Harga KPDN Cawangan Pontian, Puan Asmah binti Mu'nisif dan Penasihat Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Johor Bahru, Encik Mohammad Hasyiq bin Haji Hamdan.
Program dimulakan dengan slot pertama oleh Tuan Md Abdul Rauf bin Basri, Pegawai Pemantau Harga KPDN Cawangan Pontian yang memberikan penerangan mengenai "Hak-Hak Pengguna dan Penguatkuasaan Akta di bawah KPDN." Setelah itu, program diteruskan lagi dengan slot yang kedua oleh Puan Asmah binti Mu'nisif, Pegawai Pemantau Harga KPDN Cawangan Pontian, yang menyampaikan perkongsian mengenai aplikasi Price Catcher. Price Catcher adalah aplikasi mudah alih yang memaparkan perbandingan harga lebih 400 barangan keperluan pengguna. Aplikasi mudah alih ini dibangunkan bagi membantu pengguna menjimatkan masa masa dan kos untuk membuat perbandingan harga.
Slot yang disampaikan Puan Asmah binti Mu'nisif, Pegawai Pemantau Harga KPDN Cawangan Pontian
Program diteruskan dengan sesi cabutan bertuah di mana sebanyak lima hadiah disediakan oleh pihak penganjur kepada peserta yang bertuah. Pengisian aktiviti berakhir pada pukul 10.15 pagi setelah sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir.
Inisiatif yang direncanakan oleh Jawatankuasa Pelaksana KGPP 2025 bersama KPDN Pontian diharapkan dapat membawa manfaat kepada individu dan komuniti dengan memperkukuh pemahaman serta meningkatkan pengetahuan berkaitan pendidikan kepenggunaan. Usaha ini turut memupuk kesedaran terhadap isu-isu kepenggunaan dalam usaha melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan mahasiswa, khususnya di UTM kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir.
JOHOR BAHRU, 30 April –Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mendominasi pentas Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024 dengan meraih 12 anugerah utama, termasuk Anugerah Kelab Persatuan Terbaik. Majlis berprestij itu berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Kejayaan besar ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan GPS UTM dalam pembangunan mahasiswa dan pengurusan aktiviti berimpak tinggi sepanjang tahun.
Barisan jawatankuasa GPS UTM menerima Anugerah Kelab Persatuan Terbaik
Antara anugerah yang diterima oleh GPS UTM pada Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024 termasuk pengiktirafan tertinggi kepada Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, selaku Penasihat GPS, yang dianugerahkan Anugerah Khas Timbalan Naib Canselor (HEPA) atas sumbangan luar biasa beliau dalam membimbing dan memperkasakan organisasi pelajar. Insyirah binti Ash’ari pula mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima tiga anugerah iaitu tempat pertama Anugerah Kelab Persatuan Terbaik, tempat kedua Anugerah Penghargaan Khas serta tempat ketiga Anugerah Khas Tokoh Sumbangsih, menjadikannya antara penerima anugerah terbanyak individu pada malam tersebut.
Turut menerima pengiktirafan ialah Muhammad Najmi Shah bin Muhamed Azam Shah yang membawa pulang tempat ketiga Anugerah Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab Terbaik, manakala Izzah binti Shahrul tidak ketinggalan apabila dianugerahkan tempat ketiga Anugerah Penghargaan Khas dan tempat kedua Anugerah Khas Tokoh Sumbangsih. Selain itu, Izzah Sofiyah binti Mohd Murtadha menerima tempat ketiga Anugerah Pemimpin Wacana Intelek, manakala Amirul Irfan bin Ahmad Sophian pula merangkul tempat kedua Anugerah Pemimpin Program Sukan.
Kecemerlangan dalam kepimpinan turut ditonjolkan oleh Nur Najiha binti Mohd Humaidi yang dinobatkan sebagai penerima tempat ketiga Anugerah Kepimpinan Pelajar Terbaik (MPP). Akmal Rizal Bin Zaini turut menerima tempat pertama Anugerah Penghargaan Khas atas dedikasi beliau dan Aaron Lim Hong Rong diberi pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Kepimpinan Ibnu Maatum.
Keseluruhan pencapaian ini membuktikan kekuatan GPS UTM bukan sahaja dari segi nilai kerjasama dalam sesebuah organisasi malah turut menyerlah dalam melahirkan barisan pemimpin pelajar yang holistik, berwibawa serta berteraskan semangat komuniti.
Barisan jawatankuasa GPS UTM yang turut hadir bagi Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024
Menurut Insyirah, mantan presiden GPS UTM, kejayaan ini bukan hanya hasil usaha individu, tetapi juga berkat semangat berpasukan dan sokongan daripada seluruh ahli serta pihak pengurusan universiti. “Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus memberi khidmat terbaik kepada mahasiswa UTM dan masyarakat. Ini bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan untuk terus mencipta kecemerlangan,” ujar Insyirah.
Antara trofi kejayaan GPS UTM di GEMA 2024
Dengan semangat kepimpinan dan dedikasi yang ditonjolkan, GPS UTM optimis untuk terus memainkan peranan sebagai platform mahasiswa dalam memperkasa kesedaran pengguna serta membentuk komuniti kampus yang cakna terhadap isu semasa. Kini, kelab ini melangkah dengan lebih yakin dan bersedia membawa impak yang lebih besar kepada universiti, negara dan masyarakat.
JOHOR BAHRU, 13 Mei - Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan majlis perasmian sebagai simbolik menandakan bermulanya Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 yang berlangsung pada 13 hingga 18 Mei 2025. Majlis yang dihadiri oleh peserta, penganjur, penaja dan pihak berkepentingan ini berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. Majlis ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta menguar uarkan tempoh bermulanya KGPP 2025, sambil menekankan kepentingan pendidikan serta pemerkasaan pengguna dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bermaklumat, berwawasan, dan bertanggungjawab.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 10.45 pagi dan diikuti dengan ketibaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor iaitu Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif dan Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Yusof Bin Boon diiringi oleh Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Puan Lilis Saslinda Binti Pornomo, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Johor,Prof. Dr Edy Tonnizam Bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang disambut dengan penuh hormat oleh pihak penganjur. Majlis bermula dengan nyanyian Lagu Bangsa Johor dan Lagu Negaraku diikuti dengan bacaan doa pada jam 11.25 pagi.
Ketibaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor iaitu Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif (di bahagian tengah) dan Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Yusof Bin Boon (dua dari kiri) ke Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM JB.
Majlis Perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 bermula pada jam 11.30 pagi yang dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan oleh Cik Nur Hidayah Binti Rosmade selaku timbalan pengarah Karnival Generasi Pengguna Pintar 2025 dan diikuti oleh ucapan oleh Prof. Dr. Yusof Bin Boon, Pengarah Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM. Seterusnya, ucapan perasmian oleh Tuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor.
Ucapan daripada Prof. Dr. Yusof Bin Boon danTuan Mohd Fuzi Hadi Bin Abd Latif
Hasil usaha dan kerjasama krew KGPP 2025, gimik perasmian KGPP 2025 dipersembahkan dengan baik dan lancar. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj KGPP 2025 dan diikuti oleh sesi penyerahan kad diskaun khas menu rahmah yang diberikan kepada pengusaha kafetaria yang menawarkan hidangan menu rahmah kepada pelanggan khususnya di Universiti Teknologi Malaysia dan telah berdaftar dengan KPDN. Antara pengusaha kafetaria yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini ialah Laaa Mh Enterprise, Shajarah Barakah Sdn Bhd, Wawa Great Enterprise, East Coast Kitchen, Nsk Masakan Melayu dan Jtawan Selatan Enterprise. Pengusaha kafetaria yang mempunyai kad diskaun khas ini akan menikmati penjimatan harga apabila membuat pembelian bahan mentah di premis-premis perniagaan yang terpilih.
Gimik Perasmian Karnival Generasi Pengguna 2025
Sesi penyerahan kad diskaun khas menu rahmah kepada pengusaha kafetaria
Pengisian aktiviti berakhir pada pukul 12.15 tengahari setelah sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir. Rata-rata peserta meluahkan rasa keterujaan kerana berpeluang menjayakan majlis perasmian Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025. Peserta yang hadir juga berpeluang untuk mengetahui tentang program program yang dijalankan di bawah Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2025 seperti Consumer Pocket Talk, Bicara Kepenggunaan, Consumer Star, Consumer Dash, Escape Room: Spending Maze dan Sukan Rakyat.
Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana, serta para peserta yang hadir.
Usaha-usaha yang dirancang oleh Jawatankuasa Pelaksana KGPP 2025 diharapkan mampu menginspirasi individu dan komuniti untuk mengambil tindakan konkrit dalam memahami isu-isu penting berkaitan penggunaan bijak dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi, sumber daya alam, dan kewangan. Warga Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dengan berbesar hati menjemput seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia untuk bersama-sama menjayakan program-program menarik yang bakal berlangsung sepanjang KGPP 2025 dengan pelbagai manfaat menanti para peserta.
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menjayakan Program Simposium Kepenggunaan Bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu, yang berlangsung dari 28 hingga 30 November 2024. Program ini menghimpunkan mahasiswa UTM bersama-sama guru pelatih IPGM dalam usaha memperkasa kesedaran kepenggunaan, memperkukuh jaringan intelektual serta mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi.
Seramai lebih 30 mahasiswa GPS UTM menyertai simposium ini, dengan pengisian utama berlangsung pada 29 November di Dewan IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail. Simposium tersebut memberi ruang kepada para peserta untuk membincangkan isu-isu kepenggunaan semasa, kepentingan pendidikan pengguna, serta peranan mahasiswa dan guru pelatih sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.
sesi perbincangan antara GPS UTM bersama IPGMKDRI
Selain sesi ilmiah, pengisian program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti pengukuhan ukhuwah. Antaranya termasuk kunjungan muhibbah dan aktiviti riadah bersama yang menyatukan GPS UTM dengan GPS IPGMKDRI melalui perkongsian pengalaman dan diskusi santai.
sesi aktiviti pengukuhan ukhuwah yang dijalankan
Menurut Pengarah Program, Muhammad Hazeem bin Faizul Zahar, penganjuran simposium ini memberi peluang kepada mahasiswa UTM untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan IPGM, selain menyemai kesedaran kepenggunaan melalui pendekatan pendidikan.
“Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada kedua-dua pihak. Semoga hubungan kerjasama ini dapat diteruskan ke masa hadapan dengan inisiatif yang lebih meluas dan berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Penasihat GPS UTM, Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, menegaskan bahawa usaha ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berjiwa kepimpinan dan bertanggungjawab kepada komuniti.
“Simposium ini bukan sahaja menjadi platform ilmu, tetapi juga jambatan kerjasama antara UTM dan IPGM dalam memperkasa agenda kepenggunaan di Malaysia,” ujarnya.
GPS UTM bersama IPGMKDRI
Program yang berlangsung selama tiga hari ini turut disertakan dengan lawatan santai ke lokasi ikonik Terengganu seperti Masjid Kristal, Pantai Batu Buruk, dan Pasar Payang, yang memperkayakan pengalaman budaya peserta.
Secara keseluruhan, Simposium Kepenggunaan GPS UTM – IPGMKDRI 2024 telah meninggalkan impak besar terhadap peserta dengan menekankan nilai kepenggunaan, pendidikan dan semangat kebersamaan. GPS UTM optimis untuk menjadikan inisiatif seumpama ini sebagai kesinambungan program tahunan dalam memperkukuh jaringan masyarakat, guru pelatih, dan mahasiswa merentasi negeri.