UTM JOHOR BAHRU, 6 Mei - Penyebaran ilmu kepenggunaan tidak hanya tertumpu di dalam dewan kuliah. Akan tetapi ia masih boleh disebarkan tanpa sempadan dengan menggunakan platform yang sedia ada seperti Facebook, Google Meet, Instagram dan sebagainya sebagai satu medium penyebaran ilmu kepenggunaan. Inilah konsep yang dibawakan oleh Bicara Kepenggunaan. Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan Bicara Kepenggunaan sempena Karnival Generasi Pengguna Pintar 2023 (KGPP 2023) yang telah berlangsung pada 5 hingga 7 Mei 2023. Dengan membawakan tema Realiti Seorang Pengguna, program ini telah diadakan secara atas talian melalui Facebook Live.
Satu wadah baru yang menyajikan tiga orang hebat dari tiga zon yang berbeza iaitu saudara Abdul Kadir Bin Amransah, Presiden GPS Geomatika Kolej Keningau diikuti dengan saudara Muhammad Aidil Azhar bin Kamaruzzaman, Presiden GPS IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. Turut memberikan seri dalam bicara tersebut saudari Insyirah binti Ash’ari, Presiden GPS UTM Kampus Johor Bahru sebagai moderator.

Program ini merupakan satu pendekatan yang dilakukan bagi membantu mahasiswa Institut Pengajian TInggi Awam dan Swasta secara umumnya untuk mengetahui hak asas pengguna serta aplikasinya di Malaysia. Di samping itu, program ini dapat menambah pengetahuan mereka mengenai peranan mereka sebagai seorang pengguna dalam kehidupan seharian mereka.
Perbicaraan yang dijalankan selama 1 jam 30 minit tersebut telah memberikan pendedahan kepada semua golongan mahasiswa dan orang awam berkaitan realiti seorang mahasiswa dalam menjalani kehidupan seharian. Ketiga-tiga pemimpin ini juga menyambut baik usaha kerajaan dalam mewujudkan Menu Rahmah iaitu hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu RM5.00. Inisiatif tersebut dipercayai telah membantu ramai golongan pelajar di dalam kampus sekaligus mengurangkan kos sara hidup mereka sebagai seorang mahasiswa.

Bicara Kepenggunaan juga turut diserikan dengan pertandingan Kuiz Kepenggunaan yang menyajikan 20 soalan berkaitan kepenggunaan bagi menguji kecekapan penonton berkaitan pengetahuan mereka terhadap isu sekeliling. Pemenang Kuiz Kepenggunaan yang membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai yang bernilai RM100 berjaya dirangkul oleh Chong Lee Jun. Bagi tempat kedua pula, bernilai RM70 dimenangi oleh Mohammad Azim Haqimie bin Azwirman. Wang tunai RM50 pula berjaya disambar oleh Shalominy Phang.